MFL Umum Tempoh Jendela Perpindahan Kedua Liga Super
MakanBola
MFL

MFL mengumumkan Jendela perpindahan kedua Liga Super akhirnya dibuka secara rasmi pada Isnin.

Jendela perpindahan ini dibuka selama empat minggu dari 5 Januari 2026 sehingga 1 Februari 2026.

Ini membolehkan pasukan-pasukan Liga Super kembali berbelanja bagi memperkuatkan pasukan untuk baki kempen liga musim ini.

Beberapa pasukan dijangka mendaftarkan pemain baharu mereka secara rasmi bermula pada 5 Januari. Antara pasukan itu ialah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC.

JDT mengumumkan perpindahan tiga orang pemain iaitu Yago Cesar da Silva, Marcos Guilherme dan Rui Nene. Sang Rusa pula merekrut Oday Kharoub dan Kei Oshiro.

Jendela ini turut memberi peluang kepada Selangor mendaftarkan kembali dua pemain mereka, Alex Agyarkwa dan Safuwan Baharudin.

Kedua-duanya masing-masing beraksi secara pinjaman untuk Negeri Sembilan dan Lion City Sailors (LCS).

Tiga pasukan berdepan sekatan perpindahan iaitu KL City FC, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dan PDRM FC.

KL City masih berdepan sekatan FIFA. Kelantan TRW dan PDRM pula dikenakan sekatan oleh MFL pada akhir tahun 2025 selepas kedua-dua kelab gagal melangsaikan tunggakan gaji.

MFL sudah memberi amaran kepada Kelantan TRW dan PDRM bahawa jika isu tersebut berlarutan selepas 31 Disember 2025, hukuman lebih tegas menanti kedua-dua kelab itu.