Penang dan juga Terengganu berpeluang untuk membalas dendam dan menebus kehampaan lalu dalam saingan Liga Super minggu ini.
Saingan Liga Super minggu ke-19 bakal membuka tirai pada Jumaat dengan perlawanan tunggal yang akan berlangsung membabitkan Kuching City FC dan Kedah Darul Aman FC.
Sebanyak 6 perlawanan menarik bakal disajikan pada minggu ini dengan fokus peminat-peminat pastinya tertumpu kepada aksi yang bakal berlangsung di Pantai Timur dan Utara tanah air.
Jaguh dari Pantai Timur, Terengganu sekali lagi akan menanti kedatangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Gong Badak setelah Sang Penyu tumbang 0-4 dalam kempen Piala Malaysia minggu lalu.
Manakala, pasukan dari utara tanah air, Penang dijadualkan bertemu Selangor buat kali kedua dalam tempoh seminggu setelah tewas 0-1 dalam aksi MFL Challenge Cup baru-baru ini.
Ini umpama peluang kedua buat pasukan Terengganu dan Penang untuk bangkit dan belajar sesuatu dari kekalahan minggu lalu bagi aksi penting berdepan JDT dan Selangor kali ini.
3 aksi lain yang turut berlangsung adalah Negeri Sembilan bertemu Sabah di Paroi, Sri Pahang menanti kunjungan KL City dan Perak akan menentang Kelantan DN di Manjung.
Kedudukan carta Liga Super ketika ini masih lagi dikuasai oleh JDT dengan 49 mata dari 17 perlawanan, 11 mata di hadapan Selangor yang menghuni tangga kedua dan Sabah di tempat ke-3