Selepas tamatnya perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di antara Malaysia dan Thailand, kapten pasukan Harimau Malaya, Safawi Rasid dilihat melayani penyokong dengan membaling but sebagai tanda penghargaan.
Namun but tersebut tidak dapat ditangkap kemas oleh para penyokong dan but tersebut telah jatuh ke dalam parit stadium. Insiden lucu itu telah berjaya dirakam lensa oleh pihak media AFF dan telah pun tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah kesudahan insiden tersebut. Difahamkan terdapat seorang individu yang berjaya mendapatkan but Safawi itu. Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu.
Individu yang berbaju dan berseluar jean itu dikatakan telah turun ke bahagian parit stadium bagi mendapatkan but Safawi. Gambar individu tersebut telah dikongsikan di ruangan komen Facebook, Makanbola. Maka dengan itu, terungkai sudah kesudahan but yang dibaling Safawi tempoh hari.
Safawi dijangka akan terus menjadi sandaran Kim Pan-gon dalam aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung pada Selasa (10/1/23) di Stadium Thammasat. Kelebihan tipis kini milik Malaysia selepas berjaya menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Bukit Jalil tempoh hari.