Muka Sama Suramkan Kelayakan Piala Dunia Peringkat Asia
Asia
Yonhap/EPA
Advertisements

Dengan saingan kelayakan Piala Dunia 2022 semakin di penghujung, beberapa negara sudah mengesahkan tempat ke saingan akhir di Qatar. Tetapi di peringkat Asia, muka sama yang muncul merebut slot automatik kelayakan: Arab Saudi, Australia, Iran, Jepun dan Korea Selatan. Hanya Korea Utara yang mencuba memecah dominasi kuintet ini pada 2010.

Perkataan mudah di sini ialah membosankan. Tiada langsung elemen menghiburkan dalam perlawanan-perlawanan ini terutama bila pasukan negara kerdil menjadi mangsa belasahan kuintet ini. Bukan sedikit gol dijaringkan Samurai Biru semasa menentang Mongolia dan Myanmar. Manakala kelebihan perbezaan jaringan Australia pula ialah +70.

Dan untuk pusingan terakhir kelayakan, muka sama yang muncul di hadapan. Korea Selatan dan Iran mara ke Piala Dunia dari kumpulan A. Baki empat pasukan kumpulan berkenaan amat teruk dan tidak boleh menyaingi kedua-duanya.

Advertisements

Iraq masih berpotensi menduduki tempat ketiga kumpulan tetapi gagal menang dalam lapan perlawanan. Lubnan yang dibarisi pemain import baru Kelantan, Fadel Antar menyerlah tetapi impaknya terhad. Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula, mengecewakan.

Dalam kumpulan B pula, tiga pasukan berebut slot automatik iaitu Australia, Arab Saudi dan Jepun. Oman cuba memberi saingan tetapi tidak mencukupi untuk memecah dominasi tiga pasukan ini.

Sementara Vietnam yang membawa cabaran negara Asia Tenggara pula kerap kali kecundang sebelum menundukkan China 3-1 pada Selasa lepas. China yang turut membawa masuk beberapa pemain naturalisasi dilihat gagal memberi saingan.

Advertisements

Ramai berharap dominasi kuintet ini dipecahkan oleh negara-negara Asia Tengah. Tajikistan semakin baik kali ini tetapi masih gagal menembusi pusingan akhir kelayakan. Sementara Uzbekistan berpeluang memecah kuintet ini pada kelayakan 2006, 2014 dan 2018 tetapi gagal. Manakala Filipina menunjukkan peningkatan tetapi tiada nasib bila berdepan pasukan besar.

Situasi ini tidak dibantu oleh kecenderungan pasukan yang mahu layak tetapi tiada keinginan untuk berjaya dalam pertandingan tersebut. Jepun dikurniakan ramai pemain berbakat tetapi kelihatan sederhana di bawah bimbingan Hajime Moriyasu. Korea Selatan yang dikemudi Paulo Bento juga tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun baru-baru ini layak.

Australia yang dibimbing Graham Arnold dan pembantu Rene Meulensteen pula bergelut. Arab Saudi yang dibimbing Herve Renard menunjukkan prestasi baik tetapi jarang diuji pasukan kuat dari Eropah, Amerika Selatan atau Afrika. Manakala Iran yang layak terlebih dahulu sentiasa bergelut dalam Piala Dunia lebih-lebih lagi bila diletakkan dalam kumpulan pasukan Eropah.

Advertisements

Ini turut menjelaskan mengapa banyak persatuan bola sepak Asia bersedia menerima idea radikal Arsene Wenger tentang Piala Dunia setiap dua tahun sekali. Bagi pasukan gergasi, ini peluang untuk menguji pasukan elit dengan lebih kerap. Bagi negara lain seperti Malaysia, ia membuka lebih banyak peluang layak ke Piala Dunia. Sementara untuk negara lain, peluang mendapat lebih banyak duit.

Untuk edisi Piala Dunia 2026, lapan slot dibuka untuk pasukan Asia. Ramai peminat berharap ini membawa kepada pelaburan baru dan fokus untuk berjaya, bukan untuk layak semata-mata. Persoalannya, apakah itu boleh dicapai atau satu lagi angan-angan Mat Jenin?

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram