Walaupun tewas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi Piala AFF pada Selasa lepas, namun ianya tidak akan mematahkan semangat pemain muda negara, Mukhairi Ajmal untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan terakhir kumpulan B menentang Singapura, Selasa ini.
Akur gagal menjaringkan gol ketika perlawanan menentang Vietnam walaupun mempunyai beberapa peluang keemasan, Mukhairi bertekad mahu meletakkan nama sebagai penjaring pada perlawanan menentang Singapura.
“Saya lihat semua pemain boleh jaringkan gol, dan peluang untuk saya jaringkan gol memang ada sebelum ini tapi belum masuk lagi. Insya-Allah lawan Singapura nanti ada peluang lagi ,saya akan cuba jaringkan gol.
“Sekarang ini, mentaliti pemain berada dalam keadaan baik dan sudah melupakan kekalahan kepada Vietnam dengan masing-masing mahu membenam Singapura pada perlawanan terakhir kumpulan B,” kata Mukhairi kepada Arena Metro.
Dalam masa yang sama, Mukhairi melihat Singapura merupakan sebuah pasukan yang mempunyai corak permainan pantas melalui serangan balas. Maka dengan itu, Mukhairi berharap dapat menghalang Singapura dari melakukan serangan balas.
Selain Darren Lok yang dijangka akan diletakkan sebagai penyerang utama pasukan Harimau Malaya untuk mencari gol, Mukhairi juga merupakan antara pemain yang diberikan kepercayaan daripada jurulatih, Kim Pan-gon untuk menyumbang gol kepada pasukan.