Musim ini menyaksikan ramai staf Brighton and Hove Albion diambil Chelsea termasuk bos lama mereka, Graham Potter. Dengan Roberto De Zerbi menjadi sasaran berikutan kemerosotan Blues di bawah kendalian Potter, CEO Seagulls berseloroh Chelsea mungkin mahu mendapatkan tukang cuci mereka!
Selain berjaya membawa Potter ke Stamford Bridge, pemilik Blues, Todd Boehly turut membayar pampasan bagi mendapatkan staf kejurulatihannya termasuk tiga penolong jurulatih Bjorn Hamberg, Billy Reid dan Bruno Saltor.
“Saya gembira menerima panggilan telefon Chelsea kecuali bila ia menyentuh soal jurulatih-jurulatih kami. Saya sudah memberitahu staf-staf pembersihan agar berhati-hati kerana mereka mungkin juga akan direkrut,” kata Paul Barber, CEO Brighton secara berseloroh semasa ditemubual Financial Times.
Selain staf-staf kejurulatihan, dua figura utama di sebalik perpindahan Brighton turut dibawa ke Stamford Bridge. Dua figura tersebut ialah pengarah sukan Paul Winstanley dan penganalisis perpindahan, Kyle Macaulay.
Dengan De Zerbi pula menjadi sasaran Boehly, Barber yang sebelum ini merupakan eksekutif di Tottenham Hotspur sudah pasti mahu mengekalkan pengurusnya itu lebih-lebih lagi dengan potensi mereka layak ke Eropah musim hadapan.