Di luar negara, adalah perkara biasa apabila media merakam kehadiran para pemain ke pusat latihan. Lensa kamera pasti akan terarah kepada jenis kenderaan yang dinaiki.
Walaupun situasi tersebut jarang dirakam di negara kita, namun ianya sedikit sebanyak dapat memberi warna tambahan dalam dunia bola sepak.
Petang tadi, para pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Terengganu mula melapor diri bagi menjalani latihan pra-musim. Kehadiran mereka berjaya dirakam lensa kamera dan ada satu foto yang dimuatnaik menjadi bualan warganet.
Foto tersebut adalah foto pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain yang mencuri perhatian warganet dan pemerhati bola sepak tanah air apabila hanya memandu Perodua Kelisa untuk melapor diri bagi menjalani latihan pra-musim.
Ramai mengatakan bahawa Nafuzi seorang yang merendah diri kerana walaupun beliau antara jurulatih terbaik di Malaysia namun beliau tidak memandu kereta yang mewah sedangkan ada antara pemain yang memandu kereta mewah.
Nafuzi disahkan kekal menjadi pengendali pasukan Terengganu FC untuk musim hadapan dan beliau bakal dibantu oleh Hairuddin Omar dan Tengku Hazman Raja Hassan.
Video penuh lapor diri pemain Terengganu FC ada di sini.