Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain masih menanti jawapan daripada pihak pengurusan Terengganu mengenai masa depannya bersama kelab.
Pencapaian jurulatih muda berusia 44 tahun ini cukup luar biasa pada musim ini apabila berjaya mara ke pentas akhir Piala FA dan juga mengakhiri saingan Liga Super di tempat kedua.
Hal ini sekaligus menyaksikan pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur ini akan beraksi di pentas AFC musim hadapan.
Namun begitu, ia kelihatan masih belum dapat meyakinkan pihak pengurusan Terengganu untuk menawarkan beliau kontrak baharu.
“Saya masih belum mendapat apa-apa tawaran pada ketika ini.”
“Apa-apapun kita tunggu keputusan dari pihak pengurusan,” jelasnya selepas tamat perlawanan semalam.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Nafuzi berjaya membawa Terengganu ke pentas AFC selepas kali pertama pada tahun 2020 namun terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.
Terengganu benar-benar memanfaatkan peluang apabila mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Kedah Darul Aman dan menjadi kemenangan ke-9 berturut-turut musim ini.
Beliau cukup berpuas hati dengan pencapaian pasukan sungguhpun masa depannya bersama kelab masih belum ditentukan.
Kini, fokusnya adalah untuk memacu cabaran pasukan di pentas Piala Malaysia.