Nama pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus menggegarkan Asia.
Tonggak berusia 23 tahun itu menjadi tunjang utama bersama skuad Harimau Selatan terutamanya dalam kancah AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.
Beliau memainkan peranan penting terutamanya pada peringkat kumpulan selepas merekodkan 5 jaringan dan dua bantuan gol dalam 10 penampilan.
Prestasi memberangsangkan Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu membolehkannya tersenarai dalam kelompok pemain muda menyinar di ACLE.
Arif menjadi salah satu calon dari Asia Tenggara bersama Suphanat Mueanta (Buriram United) yang tersenarai bersama 8 lagi bintang terkemuka di Asia termasuklah Salem Al-Najdi (Al-Nassr) dan Yuto Ozeki (Kawasaki Frontale).
Bukan itu sahaja, terdapat beberapa nama lain seperti Asahi Uenaka (Yokohama F. Marinos), Ziyad Al-Johani (Al-Ahli) dan juga Shinchi Chan dari Shanghai Shenhua bagi undian Future Star of The Season.
Arif kini berada pada kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini.