Nama pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar menjadi sebutan di pentas Asia.
Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menamakan beliau antara lima bintang muda yang menyerlah dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Pentas ACL2 menyaksikan Harith merekodkan enam penampilan bersama Selangor. Beliau juga turut diberi peluang sebagai kapten untuk dua aksi menentang Jeonbuk Hyundai Motors.
Harith membantu Selangor meraih tiga kemenangan, dua kekalahan dan satu seri di peringkat kumpulan ACL2.
Pemain pertahanan kebangsaan itu bukan satu-satunya nama yang dikenali penyokong Selangor berada dalam senarai tersebut. Bekas penyerang Merah Kuning, Reziq Bani Hani turut tersenarai.
Reziq membantu kelabnya, Al-Hussein SC mara ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL2. Walau bagaimanapun, kemaraan mereka disekat juara kejohanan, Sharjah FC.
Yotaro Nakajima, Jordan Courtney-Perkins dan Kakana Khamyok turut berada dalam senarai bintang muda ACL2 yang menyerlah.