Nasib Berbeza Bekas Duo Selangor Di Piala Dunia
MakanBola
FIFA World Cup

Nasib berbeza dialami dua bekas tonggak Selangor FC, Ali Olwan dan Yazan Al-Arab di pentas Piala Dunia 2026.

Aksi pertama Kumpulan J menyaksikan Jordan meraih gol pertama dalam Piala Dunia menerusi Ali. Lebih menarik, penyerang berusia 26 tahun itu meledakkan gol persis legenda Portugal, Cristiano Ronaldo.

Ali melepaskan rembatan deras melepasi penjaga gol Austria, Alexander Schlager pada minit ke-50. Ini gol ke-28 beliau dalam 68 penampilan bersama Jordan di peringkat antarabangsa.

Meskipun begitu, Yazan pula mengalami nasib berbeza. Beliau yang kini mewakili FC Seoul bernasib malang apabila tertolak bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-76.

Ini membuka ruang buat Austria meraih kemenangan 3-1 ke atas Al-Nashama. Selain gol sendiri Yazan, dua gol Austria lagi dicetak oleh Romano Schmid dan penalti saat akhir Marko Arnautovic.

Keputusan ini menyaksikan Austria dan Argentina berkongsi dua tempat teratas Kumpulan J dengan tiga mata selepas perlawanan pertama kumpulan.

Ali dan Yazan bukan satu-satunya bekas pemain Liga Malaysia (Liga M) beraksi mewakili Jordan. Dua lagi bekas pemain Selangor, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh turut beraksi dalam kesebelasan utama Al-Nashama.

Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mahmoud Al-Mardi pula masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.