Piala Dunia FIFA: Misi Besar Jordan Ranap Di Tangan Austria
MakanBola
OEFB_1904

Aksi kedua kumpulan J menyaksikan pasukan Austria kendalian Ralf Rangnick berjaya menumbangkan pasukan ranking 63 FIFA, Jordan kendalian Jamal Sellami dengan keputusan 3-1.

Aksi tersebut berlangsung di Stadium San Francisco Bay Area, Santa Clara. Pasukan Austria tampak kuat pada perlawanan ini kerana dapat membariskan beberapa pemain ternama seperti David Alaba, Konrad Laimer dan Marcel Sabitzer.

Formasi 4-2-3-1 dimainkan oleh pasukan Austria sambil diketuai oleh bekas pemain Real Madrid, David Alaba manakala pasukan Jordan bermain dengan formasi 3-4-3 yang juga diperkuatkan oleh 4 orang bekas pemain Selangor, Ali Olwan, Noor Al-Rawabdeh, Yazan Al-Arab dan Abualnadi dalam kesebelasan utama mereka.

Romano Schmid meletakkan Austria di hadapan pada minit-21 sekaligus memberikan kelebihan awal. Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama meskipun Jordan melepaskan beberapa percubaan berbahaya.

Bersambung babak kedua, hanya tempoh 5 minit diperlukan buat Jordan untuk mengikat kedudukan menerusi penyerang berbisa, Ali Olwan yang melepaskan satu rembatan kencang dalam kawasan kotak penalti pasukan Austria.

Pasukan julukan Das Team meraih gol kemenangan aksi pada minit ke-76 hasil jaringan sendiri pertahanan Jordan, Yazan Al-Arab sekaligus memberikan kegembiraan kepada kem pasukan Austria.

Marko Arnautovic memastikan kemenangan bergaya pasukan Austria selepas menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung separuh masa kedua.

Sehinggalah tamat perlawanan, pasukan Jordan terpaksa akur dengan keputusan 3-1. Seterusnya, Austria akan menentang Argentina manakala Al-Nashama akan menentang Algeria.