Ketajaman Bergson da Silva dan Fernando Forestieri sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Duo serangan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini sentiasa menjadi mimpi ngeri buat benteng pertahanan pasukan lawan.
Namun begitu, kedua-dua pemain ini dijangka mengalami nasib berbeza pada musim hadapan apabila kontrak Bergson akan berakhir pada 30 November ini. Berlainan dengan Forestieri yang dijangka akan kekal bersama JDT musim hadapan selepas kontrak beliau akan tamat 2023.
Walaupun dibeli dengan harga RM 1.6 juta pada musim lalu, JDT sehingga kini masih belum mengumumkan apa-apa berita mengenai masa hadapan Bergson yang sudah meledak 20 gol dalam saingan Liga Super musim ini.
Segelintir peminat bola sepak negara merasakan adalah sesuatu yang merugikan jika JDT melepaskan ‘mesin gol’ ini. Walaupun dikecewakan oleh Urawa Red Diamonds dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC, namun Bergson sudah meledak 6 gol dalam pentas berprestij Asia itu.
Sebelum ini, ada desas-desus yang mengaitkan kepulangan semula bekas pemain JDT, Juan Martin Lucero ke pasukan JDT musim hadapan. Lucero juga masih mempunyai hubungan yang baik bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim atau lebih dikenali dengan gelaran TMJ.
Selain itu, TMJ juga turut memberi bayangan bahawa pemain bintang Sevilla, Papu Gomez berada dalam perancangan JDT pada musim mendatang. Papu Gomez masih mempunyai kontrak bersama Sevilla sehingga Jun 2024.