Negeri Sembilan FC tidak akan memenuhi kuota 15 pemain import untuk kempen Liga Super musim 2025/26.
Ini dinyatakan sendiri pengerusi pasukan, Datuk Seri Aminuddin Harun apabila ditanya tentang bilangan pemain import yang akan digunakan Sang Rusa.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan melihat kos kewangan sebagai sebab Negeri Sembilan tidak akan memenuhi kuota berkenaan.
Selain itu, pengurusan Sang Rusa juga melihat ini peluang buat jurulatih, Nidzam Jamil mengetengahkan lebih ramai pemain muda dalam skuad senior.
“Kita sedang berbincang tentang posisi (pemain) yang akan kita putuskan. Kita tak sanggup nak beli sampai 15 orang yang dibenarkan itu.
“Kita akan menggunakan pemain import dan senior tetapi saya yakin dengan kehadiran ramai pemain baharu akan memberi nafas (galakan) kepada pemain muda kita.
“Kita nak supaya mereka diberi peluang dan ruang untuk menyumbang, sekaligus mencatat keputusan yang baik untuk pasukan pada saingan musim ini,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Negeri Sembilan sudah mendapatkan lima pemain baharu iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Azri Ghani, Khuzaimi Piee, Hakimi Abdullah dan Ariff Ar-Rasyid.