Negeri Sembilan Terpaksa Lupakan Zaquan Adha
Liga Super
Negeri Sembilan FC
Advertisements

Selepas terpaksa melupakan khidmat bek tengah berpengalaman Herold Goulon akibat kecederaan jangka panjang, kini Negeri Sembilan terpaksa melupakan khidmat kapten mereka, Zaquan Adha Abdul Radzak. Ini selepas penyerang berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan semasa bertemu Selangor dalam aksi Piala FA 2023 semalam.

Zaquan tampil sebagai pemain gantian dengan harapan dapat membantu skuad Jang bangkit mengejar Merah Kuning. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian dengan dua gol Yohandry Orozco memastikan Red Giants mara ke separuh akhir Piala FA dengan kemenangan 3-1 ke atas tuan rumah di Paroi.

Lebih malang, Zaquan kemudiannya terpaksa diusung keluar selepas diterjah bek kiri Selangor, Fazly Mazlan sekaligus mengalami kecederaan lutut yang serius. Berdasarkan ciapan wartawan Astro Arena, Syifa Nasir di Twitter hari ini, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dijangka terkeluar untuk baki saingan Liga Super musim ini.

Advertisements

Ini sudah pasti memberi tamparan hebat kepada jurulatih skuad Rusa, K. Devan. Ini kerana ini bakal mengurangkan pilihan penyerang tulen dalam pasukannya dengan Shahrel Fikri dan Casagrande sebagai pilihan yang masih ada.

Secara tidak langsung, ini akan memaksa Negeri Sembilan mencari penyerang tambahan bagi memperkuat pasukan menjelang tetingkap perpindahan kedua yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Dalam catatannya di Instagram, Zaquan menyifatkan apa yang berlaku sebagai ketentuan takdir Ilahi dan berharap diberi ketabahan untuk mendepani ujian ini. Ramai pengguna media sosial mengharapkan bekas penyerang Harimau Malaya itu pulih daripada kecederaannya termasuk rakan-rakan lamanya dari JDT seperti Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi dan Nazmi Faiz Mansor.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram