Faktor kecergasan mendorong pengendali Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil meletakkan Oday Kharoub di bangku simpanan untuk aksi menentang Kuching City FC.
Sebelum perlawanan, ramai penyokong Sang Rusa tertanya-tanya sebab pemain tengah Palestin itu diletakkan di bangku simpanan.
Oday hanya dibawa masuk pada minit ke-61 sebagai pemain gantian. Bekas kapten Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) itu masuk menggantikan pemain Korea Selatan, An Sang-su.
Apabila ditanya tentang sebab Oday diletakkan di bangku simpanan, Nidzam memaklumkan keputusan itu dipengaruhi oleh faktor kecergasan bekas pemain Al-Ahly SC itu.
Ini kerana Oday baru saja pulih daripada kecederaan. Atas sebab itu, Nidzam mengambil langkah berhati-hati berhubung status kecergasan beliau.
“Ini kerana dia baru pulih daripada kecederaan. Saya fikir untuk pemain sebagus dia, kita sudah letakkan dia lebih awal dari minit pertama.
“Dia hanya baru menghabiskan latihan dua atau tiga hari yang lalu. Sebab dia ada sedikit koyak pada bahagian hamstring seminggu yang lalu.
“Sudah tentu saya nak turunkan semua pemain terbaik saya tapi kita nak ambil kira faktor kecederaan ini,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Aksi Kuching City menentang Negeri Sembilan menyaksikan Sang Rusa kecundang 2-0 di Stadium Negeri Sarawak.
Gabriel Nistelrooy dan Ronald Ngah Wanja masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.