Pengendali New Zealand, Darren Bazeley memaklumkan pasukannya akan memberi persembahan terbaik bila berhadapan dengan Malaysia.
All Whites bakal berdepan Malaysia untuk aksi persahabatan antarabangsa yang akan diadakan di Auckland pada 14 Oktober ini.
Ini kali pertama kedua-dua negara bertemu sejak 23 Februari 2006. Aksi yang turut berlangsung di Auckland itu berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat tuan rumah.
Gol pendahuluan Campbell Banks pantas dinafikan oleh gol deras Safee Sali. Andrew Barron memastikan kemenangan All Whites menerusi gol pada minit akhir permainan.
Meskipun sedar dengan status Malaysia selaku pasukan ke-132 dunia, Bazeley enggan memandang rendah cabaran anak buah Pau Marti Vicente itu.
Atas sebab itu, beliau mahu barisan anak buahnya mempamerkan prestasi terbaik bila turun berdepan Harimau Malaya nanti.
“Kita pasukan pilihan. Ini satu peluang untuk kita bermain untuk menjadi pasukan tersebut daripada pasukan yang memiliki ranking terbawah.
“Mereka hadir dengan pasukan yang besar. Saya dengar apa yang jurulatih (Malaysia, Pau Marti Vicente) katakan dan kita perlu mempamerkan persembahan terbaik di gelanggang sendiri di atas padang yang bagus,” katanya seperti yang dilaporkan Friends of Football New Zealand.
Bazeley dijangka menurunkan barisan berbeza dengan memberi peluang kepada pemain lain beraksi. Ini termasuk tiga pemain simpanan yang beraksi untuk Auckland FC iaitu Tommy Smith, Cam Howieson dan Alex Paulsen.
New Zealand segar daripada kemenangan 3-0 ke atas Tahiti. Manakala Malaysia pula meraih keputusan seri 1-1 dengan Auckland pada 11 Oktober lalu.