Bekas pemain tengah Pahang musim lalu, Nik Sharif Haseefy kini beraksi bersama Selangor FC bagi saingan Liga Super 2021 namun isu kecederaan menyaksikan pemain tersebut sudah terlepas hampir separuh aksi Liga Super musim ini.
Bukan tugas yang mudah buat pemain berusia 24 tahun ini bagi merebut kesebelasan utama Selangor FC selepas pulih daripada kecederaan pada pertengahan bulan Julai lalu. Namun ketiadaan beberapa pemain tengah Selangor FC pastinya mencerahkan lagi peluang Nik Sharif untuk beraksi di bahagian tengah.

Kebelakangan ini Selangor FC kerap menggunakan formasi 4-3-3 dimana barisan tengah diletakkan 1 pemain tengah bertahan dan diapit oleh 2 pemain tengah. Posisi tengah bertahan jelas menjadi milik Manuel Konrad manakala Oliver Buff semakin menjadi kegemaran Neitzel bagi salah satu posisi pemain tengah. Ini meninggalkan satu tempat dibahagian tengah yang perlu Nik Sharif rebut sebaik mungkin.

Dalam 3 perlawanan terakhir Selangor, Neitzel telah meletakkan Hein Htet Aung sebagai pemain tengah sebanyak 2 kali (UiTM FC, Kedah FC) dan Nor Hakim Hassan pula sekali (Perak FC) walaupun kedua-dua pemain tersebut lebih dominan beraksi di bahagian sayap.
Ini disebabkan kekurangan pemain tengah tulen selepas Brendan Gan kini menjalani rawatan manakala Halim Saari pula mengalami kecederaan ACL pada bulan Mei lalu.

Aksi cemerlang Hein Htet Aung bagaimanapun memberi kemungkinan Neitzel akan lebih kerap meletakkan Htet Aung dibahagian tengah selepas beliau merekodkan 4 assists dalam 3 perlawanan (Penang FC, Uitm FC, Kedah FC) ketika diturunkan sebagai pemain tengah walaupun beliau merupakan pemain sayap kanan.
Nik Sharif kini perlu bersaing dengan Hein Htet Aung dan dua lagi pemain tengah, Mukhairi Ajmal (19 tahun) dan Aliff Haiqal (21 tahun) bagi posisi tengah pasukan. Semenjak Nik Sharif pulih daripada kecederaan, beliau telah diturunkan sebanyak 3 kali sebagai pemain simpanan dan hanya beraksi tidak lebih daripada 10 minit.
Nik Sharif mempunyai kualiti penyudah yang baik walaupun bermain sebagai pemain tengah malah amat lincah diatas padang. Bakat pemain ini pasti ditunggu-tunggu penyokong Selangor setelah berehat lama ekoran kecederaan buku lali.
Barisan tengah Selangor FC jelas memiliki beberapa pemain yang berkualiti ketika ini sekali gus merancakkan lagi persaingan sihat antara pemain bagi meraih lebih banyak minit permainan.