Nikola Jambor & Selangor Berpisah
MakanBola
Selangor FC

Tonggak import Selangor FC dari Croatia, Nikola Jambor sah tidak lagi bersama pasukan itu.

Ini selepas pengurusan Merah Kuning mengumumkan pemain tengah berusia 29 tahun itu telah meninggalkan pasukan Lembah Klang itu.

“Hari ini, kita mengucapkan selamat tinggal kepada Nikola Jambor tatkala beliau membuka babak baru dalam karier bola sepak.

“Sejak menyertai Selangor FC pada pertengahan musim 2024/25, Niko telah menjadi lambang dedikasi dan keazaman.

“Penampilan pertama beliau dalam aksi ACL2 menentang Dynamic Herb Cebu FC merupakan permulaan kepada babak persembahan bersemangat menyarung jersi Merah Kuning kita,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebaik pengumuman itu dimuat naik di platform rasmi Selangor, Jambor memberi komen ringkas di Instagram, “Terima kasih.”

Jambor merekodkan 21 penampilan, satu gol dan dua bantuan gol bersama Selangor. Beliau turut membantu Merah Kuning bergelar juara MFL Challenge Cup.

Pengumuman ini menyaksikan Jambor menjadi pemain import terbaru meninggalkan Selangor. Sebelum ini, Ronnie Fernandez, Yohandry Orozco dan Ali Olwan turut mengucapkan selamat tinggal kepada Merah Kuning.