Luqman Hakim Shamsudin bakal muncul dalam penampilan pertama bersama kelab barunya, Njardvik tidak lama lagi.
Pemain berusia 21 tahun itu dalam hantaran di Instagram telah memuat naik satu gambar dengan mengenakan jersi terbaru kelab. Njardvik pada kelmarin telah melancarkan jersi berwarna hijau untuk ‘home’ dan putih untuk ‘away’ bagi musim 2023.
Pemain yang pernah berada dalam senarai 60 bakat muda terbaik dunia ini menzahirkan keterujaan menyarung jersi kelab divisyen kedua piramid bola sepak Iceland yang dikenali sebagai Lengjudeild karla ini. Beliau mengakui bahawa dirinya sudah tidak sabar untuk kembali beraksi.
“Pengalaman menakjubkan sertai pasukan Njardvik. Saya akan buat yang terbaik untuk musim ini. Tak sabar untuk beraksi. Bismillah,” tulis Luqman di Instagram.
Dalam pada itu, kelab Njardvik memaklumkan bahawa urusan pendokumentasian Luqman Hakim akan selesai tidak lama lagi.
Ini kerana, anak jati kelahiran Kelantan ini telah menerima pelepasan permit kerja daripada pihak kerajaan Iceland bagaimanapun masih menunggu proses akhir daripada pihak KV Kortrijk untuk melengkapkan proses peminjaman pemain.
Pada Februari lalu, Luqman melengkapkan perpindahan ke Njardvik secara pinjaman daripada KV Kortrjik dengan kontrak pinjaman selama 1 tahun.
Setakat ini, Luqman Hakim belum melakukan sebarang penampilan bersama Njardvik dalam perlawanan kompetetif. Namun beliau telah berjaya menjaringkan tiga gol sejak keberadaan di bumi Iceland ketika diturunkan dalam beberapa siri persahabatan.