Ketua jurulatih SJK Akatemia, Joaquin Gomez menghamburkan pujian yang menggunung terhadap bintang sensasi pasukan, Nooa Laine.
Pemain berusia 20 tahun itu dilabel sebagai salah seorang pemain yang amat penting dalam sistem yang diterapkan oleh jurulatih pasukan.
Malah, beliau yang baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab tersebut berasa selesa dengan suasana di sana.
“Kami gembira kerana memberikan kontrak lanjutan kepada pemain yang telah menampilkan prestasi terbaik musim lalu.
“Perkembangan Nooa sebagai pemain adalah bagus menurut saya dan beliau berjaya meraih semula keyakinan dan berkembang sungguhpun masih ada ruang untuk penambahbaikan.”
Gomez turut mengakui bahawa kemampuan Nooa untuk beraksi pada beberapa posisi telah memberikannya kelebihan dalam sistem yang cuba diterapkan.
“Beliau telah membuktikan kemampuannya dan menjadi antara salah seorang pemain paling dan saya yakin beliau mempunyai masa depan yang cerah,” jelasnya.
Menurut satu kenyataan oleh kelab, pemain tengah menyerang ini telah pun dipanggil untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan Finland bawah 21 tahun.
Beliau masih boleh mewakili Finland atau Malaysia kerana ayahnya merupakan warganegara Malaysia manakala ibunya berasal dari Finland.
Sebelum ini, beliau pernah dipanggil untuk beraksi bersama pasukan negara namun difahamkan terdapat beberapa isu yang melanda antara pihaknya dan juga FAM.
Hal ini bagaimanapun telah dinafikan oleh agensi pemain ini dan beliau masih terbuka untuk mewakili salah satu negara yang menagih khidmatnya.