Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sah dipilih sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk zon Asia Tenggara.
Pemilihan beliau dibuat dalam Perhimpunan Agung OCA yang diadakan di New Delhi, India pada hari ini. Norza merupakan satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan.
Ini memastikan beliau dipilih tanpa bertanding sebagai Naib Presiden OCA Zon Asia Tenggara. Menariknya, beliau menjadi individu kedua dari Malaysia yang menggalas jawatan berkenaan.
Orang pertama yang pernah memegang peranan Naib Presiden OCA ialah Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah. Beliau dipilih untuk jawatan itu pada 1982.
Timbalan Presiden MOM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyifatkan perlantikan Norza sebagai satu penghormatan buat Malaysia. Hamidin percaya pemilihan beliau bakal menyemarakkan lagi kemajuan Pergerakan Olimpik di benua Asia terutama Malaysia amnya.
“Mewakili keluarga MOM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Norza atas pelantikannya sebagai Naib Presiden OCA.
“Pemilihan Tan Sri Norza membuktikan sifat kepimpinan serta dedikasi beliau terhadap kemajuan Pergerakan Olimpik bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh benua Asia,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Norza telah melepaskan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam bakal menggalas peranan sebagai pemangku sehingga pemilihan jawatankuasa baru pada tahun 2025.