Penyerang sensasi Kelantan FC, Nuha Marong kembali memacu pasukannya untuk terus bersaing musim ini apabila menjadi watak penting ketika menumpaskan Manjung FC semalam.
Pemain berusia 29 tahun itu diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan pasukan nyata memanfaatkan peluang yang diberikan.
Penyerang kebangsaan Gambia ini membentuk gandingan yang cukup ampuh setelah diletakkan dalam kesebelasan utama Kelantan.
Beliau bijak menghidu peluang dan ruang yang dimiliki terutamanya dalam kotak penalti lawan sekaligus menyaksikan beliau meledak dua gol dalam aksi tersebut.
Gol pertama hadir apabila beliau meletakkan diri pada posisi yang betul untuk menerima hantaran daripada Miguel Cifuentes sebelum merembat masuk untuk gol pertama peribadi.
Tandukan tajamnya cukup untuk memastikan Kelantan mencatat kemenangan selesa 3-0 untuk mara ke suku akhir.
Kemenangan ini akhirnya berjaya mengubat rasa sedih dan kecewa dalam kalangan penyokong Kelantan susulan pelbagai isu yang melanda pasukan.
Prestasi yang kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Super juga sejak beberapa perlawanan ini pastinya mahu ditamatkan di bawah kendalian jurulatih baharu, Frank Bernhardt.
Kelantan bakal bertemu Sabah di Likas bagi aksi Liga Super minggu ke-9 dalam misi mencari 3 mata berharga untuk keluar dari zon bahaya.