Penyerang PT Athletic, Nurshamil Ghani gembira kerana dapat membuka akaun jaringan bersama pasukan itu.
Selepas menyertai PT Athletic pada akhir Mac lalu mengikut data Transfermarkt, penyerang berusia 29 tahun itu terpaksa menanti beberapa perlawanan untuk membuka tirai jaringannya.
Ini kerana kali terakhir bekas penyerang Kelantan FC itu menjaringkan gol ialah pada 28 April lalu. Nurshamil menjaringkan gol apabila pasukan itu tewas 3-2 kepada Perak FC.
Penantian lebih setahun beliau untuk menjaringkan gol berakhir apabila Nurshamil meledakkan gol semasa menentang Manjung City FC pada 21 Julai lalu.
Nurshamil mengakui merasa lega kerana dapat mengakhiri penantian golnya. Dan beliau amat berterima kasih dengan sokongan yang diberi barisan kejurulatihan dan rakan-rakan sepasukan.
“Alhamdulillah, itu yang saya cari setelah lama main (bersama PT Athletic). Dan saya berterima kasih kepada barisan jurulatih dan rakan-rakan sepasukan yang membantu saya untuk dapatkan sentuhan jaringan untuk PT Athletic. Dan alhamdulillah, saya dapat mencipta jaringan pada hari ini,” katanya.
Bisa Nurshamil dijangka ditagih jurulatih PT Athletic, Nazrulerwan Makmor untuk aksi Liga A1 Semi Pro seterusnya.
PT Athletic bakal turun menentang pendatang baru liga, Bunga Raya Damansara FC (BR Damansara) di Stadium Mini Persada PLUS pada 27 Julai ini.