Advertisement
Oman Masih Berahsia Barisan Pemain Lawan Malaysia
Asia
MakanBola
Oman FA

Menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Malaysia pada 21 Mac ini, Oman dilihat masih berahsia tentang barisan pemain yang bakal diturunkan.

Ini sama sekali berbeza dengan Harimau Malaya yang telah mengumumkan senarai 33 pemain awal menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Sebagai permulaan, liga utama Oman iaitu Oman Professional League masih lagi berlangsung ketika ini.

Majoriti pemain kebangsaan Oman beraksi di liga berkenaan. Hanya dua pemain Oman yang beraksi di luar negara iaitu penjaga gol, Faiz Al-Rushaidi dan pemain tengah, Jameel Al-Yahmadi.

Faiz berkelana di Bahrain dengan mewakili Manama Club. Manakala Jameel pula mewakili kelab divisyen dua Qatar, Al-Kharaitiyat.

Saingan Oman Professional League bakal berehat pada 9 Mac ini bagi memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Ini sekaligus memberi tempoh 12 hari buat jurulatih baru Oman dari Republik Czech, Jaroslav Silhavy bukan saja untuk mengenali barisan pemainnya.

Malah, itulah tempoh yang ada untuk mempersiapkan mereka sebelum turun menentang Malaysia di Muscat pada 21 Mac ini.

Situasi ini tidak dibantu dengan perlantikan Silhavy. Silhavy dibawa masuk Persatuan Bola Sepak Oman (OFA) menggantikan Branko Ivankovic susulan prestasi kurang memberangsangkan Oman di Piala Asia 2023.

Lantas, jurulatih Republik Czech itu perlu memberi impak segera kepada Oman dengan merekodkan kejayaan ke atas Harimau Malaya.

Justeru, bisa tonggak utama seperti Salah Al-Yahyaei, Zahir Al-Aghbari, Abdullah Fawaz dan Arshad Al-Alawi bakal ditagih Silhavy untuk perlawanan itu nanti.

Oman dijangka mahu bangkit selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Asia 2023. Selain itu, mereka juga merekodkan satu kemenangan dan satu kekalahan dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.

Oman terlebih dahulu menewaskan Taiwan 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan D sebelum tunduk 1-0 kepada Kyrgyzstan.

Oman dan Malaysia bakal bersemuka untuk aksi ketiga Kumpulan D di Muscat pada 21 Mac. Ini disusuli aksi keempat kumpulan pada 26 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil.