Selepas 16 tahun bersama skuad Hijau Kuning, kini legenda Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar sah akan menyertai pasukan Sabah FC bagi saingan musim hadapan.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan jurulatih Sabah, Ong Kim Swee, beliau menyatakan bahawa selepas membuat keputusan untuk menyertai Sabah, orang pertama yang menjadi sasaran beliau ialah Baddrol Bakhtiar.
Bekas jurulatih skuad muda negara itu turut menegaskan tiada paksaan yang dibuat kepada pemain untuk menyertai Sabah FC. Perancangan yang jelas diberikan kepada pemain kesayangan Kedah itu membuka pintu hati Baddrol untuk menyertai pasukan negeri dibawah bayu tersebut.
“Selepas saya membuat keputusan untuk ke Sabah, Baddrol adalah pemain pertama yang saya inginkan. Saya tidak memaksa sesiapa untuk datang tapi saya mempunyai perancangan,”
Bekas jurulatih skuad muda negara itu menjelaskan bahawa Baddrol faham akan kemampuan Kim Swee untuk memacu Sabah menjulang Piala pada musim hadapan. Difahamkan, Baddrol juga diberi kepercayaan untuk menyuarakan pendapat kepada Kim Swee bahawa pemain mana lagi yang sesuai untuk beraksi bersama Sabah.
“Baddrol percaya saya mempunyai satu perancangan jangka masa panjang dan sesuatu untuk pasukan sabah untuk menjulang Piala. Beliau faham apa cita-cita saya untuk Sabah,”
“Saya memberikan ruang kepada Baddrol untuk memberi pendapat sesiapa yang beliau fikir mampu bersama Sabah,”
Mengulas lanjut, jurulatih berusia 50 tahun itu turut memuji sikap kepemimpinan yang dimiliki oleh Baddrol dalam mengemudi sesebuah pasukan. Beliau akui pengalaman yang ada pada Baddrol sangat berharga dalam membimbing para pemain muda di Sabah.
“Baddrol adalah ketua pasukan yang bagus, berpengalaman, tidak takut untuk bercakap. Saya tahu kemampuan beliau. Beliau juga dapat membantu para pemain lain terutamanya barisan pemain muda Sabah FC, ” kata Kim Swee dalam Bola itu Life.