Pasukan Sabah FC terpaksa melenyapkan impian mereka untuk layak ke pusingan separuh akhir bagi saingan Piala Malaysia selepas tewas dengan pasukan Melaka United dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat tempoh hari.
Menurut Harian Metro, Jurulatih Sabah FC, Ong Kim Swee mengatakan bahawa layak ke suku akhir adalah satu perkara yang positif dalam membentuk kematangan para pemain. Jika tidak mara ke peringkat itu sudah tentu tiada sebarang pengalaman yang dapat diperolehi.
“Layak ke suku akhir membina kematangan kepada pemain kerana jika tidak mara ke peringkat itu, sudah pasti pengalaman terbabit tidak dapat diperolehi.”
Dalam pada itu, bekas jurulatih muda skuad negara ini mengakui barisan pemain muda sudah memberikan aksi yang terbaik buat pasukan mereka. Beliau juga yakin para pemain muda akan mempamerkan kualiti dan kematangan permainan yang lebih baik pada musim hadapan dengan berbekalkan pengalaman yang mereka lalui ketika ini.
“Mereka sudah cuba sebaik mungkin namun kualiti dan kematangan membezakan antara kami dengan Melaka. Saya yakin barisan pemain muda ini bertambah mantap pada tahun hadapan.” kata Ong Kim Swee
Mengulas lanjut, jurulatih berusia 50 tahun ini jelas sudah mempunyai visi dan misi dalam membentuk pasukan Sabah FC pada musim hadapan. Akan tetapi, jumlah bajet yang akan diberikan adalah berdasarkan ketetapan yang ditentukan oleh pihak pengurusan Sabah FC.