Harimau Malaya

Skuad Muda Malaysia & Indonesia Bertemu

indonesia vs malaysia latihan Skuad Muda Malaysia & Indonesia Bertemu
X @FIndonesiaa
Advertisements

Skuad Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) sekali lagi akan berdepan Indonesia dalam dua aksi persahabatan minggu ini sebagai sebahagian daripada persiapan kedua-dua negara menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 2027.

Aksi pertama dijadualkan malam ini, Selasa 27 Oktober, pada jam 9.30 malam waktu Malaysia, sebelum kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi pada Jumaat, 30 Oktober, jam 5 petang.

Ini merupakan pertemuan ketiga dan keempat antara kedua-dua skuad muda itu dalam tempoh empat bulan. Pada Julai lalu, skuad kendalian Shukor Adan mengikat Indonesia 1-1 di Stadium Manahan, Solo, dengan gol penyamaan hadir pada lewat permainan selepas Dhamar Try Kusuma meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-80.

Namun tiga hari kemudian, Garuda Muda bangkit dengan kemenangan 3-0 menerusi jaringan Haikal Kamil (11′), Dhamar Try (21′) dan Gede Majesta (42′). Keputusan itu turut menjadi kemenangan pertama buat jurulatih baharu Indonesia, David Nascimento.

Malaysia sebenarnya memiliki rekod manis menentang Indonesia tahun ini. Pada Kejuaraan B-17 ASEAN April lalu, gol tunggal Mohammad Fareez pada minit ke-33 memberi Malaysia kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah di Stadium Gelora Joko Samudro, Gresik. Malaysia kemudian muncul naib juara kejohanan itu di belakang Vietnam.

Bagi Indonesia, dua perlawanan ini menjadi ujian terakhir sebelum mereka berlepas ke Myanmar, memandangkan kesemua perlawanan Kumpulan A kelayakan akan berlangsung di Yangon. Malaysia pula sedang membina skuad untuk saingan kelayakan yang dijadual berlangsung pada November depan.

Dengan rekod pertemuan yang masih seimbang tahun ini, sebuah kemenangan dan sebuah kekalahan setiap satu serta satu keputusan seri, dua aksi ini bakal menjadi penanda aras sebenar buat anak-anak muda negara sebelum turun ke pentas Asia.