Menurut satu kenyataan daripada jurulatih Sabah, Ong Kim Swee, beliau yakin akan kemampuan anak buahnya bagi menghadapi saingan musim baru nanti. Beliau menuntut para pemain persembahkan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan.

Tambah Kim Swee, beliau percaya campuran pemain berpengalaman dan pemain muda dalam skuad Sabah merupakan perancangan jangka masa panjang. Perkara ini mampu menaikkan semangat barisan pemain muda apabila dapat bergandingan bersama pemain berpengalaman.


“Saya percaya mereka tahu apa yang mereka boleh lakukan dan ingin lakukan. Paling penting adalah kita sentiasa konsisten untuk mencapai kemenangan tidak kira apa juga perlawanan dihadapi pada musim ini.

“Setiap pasukan pastinya memerlukan pemain yang berpengalaman selain pemain muda. Ini adalah strategi jangka masa panjang skuad Sang Badak.


“Kita boleh ketengahkan mereka pada bila-bila masa. Kita sudah ada beberapa pemain berpengalaman termasuk Khairul Fahmi (Che Mat), Baddrol (Bakhtiar), dan pemain import lain.

“Ini sudah pasti akan memberi satu keyakinan yang tinggi kepada Sabah,” kata Kim Swe kepada Berita Harian.


Kim Swee dalam pada itu sudah menemui satu solusi dimana dengan kehadiran penjaga kol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dapat menutup ruang kelemahan yang dikenalpasti saingan musim lepas.

Mengulas lanjut, bekas pengarah teknikal FAM ini yakin keputusan untuk membawa Apek dapat memimpin serta mendidik penjaga gol mudah Sabah untuk menjadi lebih cemerlang di masa hadapan.


“Salah satu kelemahan kita pada musim lalu ialah di bahagian penjaga gol. Kehadiran Apek pasti akan menguatkan lagi pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.

“Langkah ini penting untuk kita membina sesuatu terutamanya melalui penjaga gol yang berpengalaman dan boleh membimbing penjaga gol muda apabila dia berada di sini nanti,” katanya.