Ong Kim Swee Jadi Jurulatih Kedua Dilayangkan Kad Merah Musim Ini

Ong Kim Swee 9 Ong Kim Swee Jadi Jurulatih Kedua Dilayangkan Kad Merah Musim Ini
Sabah FC
Nabil Fahmi @nabilfamy
9:27am 13/03/2023

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee merupakan jurulatih kedua yang diperintah keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana dikatakan membantah keputusan pengadil dalam aksi Liga Super di antara Sri Pahang dan Sabah semalam.

Kim Swee dilayangkan kad merah pada minit ke-68 perlawanan. Perlawanan tegang itu berakhir dengan keputusan seri 1-1. Daniel Ting meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-14 melalui tandukan deras sebelum disamakan penyerang import Sri Pahang, Kpah Sherman.

Rata-rata penyokong Sabah meluahkan ketidakpuasan hati mereka mengenai mutu pengadilan dalam perlawanan itu di mana sekurang-kurangnya dua sepakan penalti harus diberikan kepada pasukan Sabah selepas berlaku kekasaran di kotak penalti.

“Sepatutnya sabah dapat penalti. Susah nak maju bola sepak Malaysia kalau masih ada pengadil seperti ini,” luah Azaman Adnan di ruangan komen Sabah FC.

Malah ada juga penyokong Sabah yang mahu pihak pengurusan mengemukakan bantahan rasmi dengan mutu pengadilan yang dianggap sangat teruk dalam perlawanan itu.

“Sabah FC sila buat bantahan rasmi dgn cara pengadilan pengadil dan penjaga garisan. Sangat ketara berat sebelah,” cadang seorang penyokong Sabah, Anthony Thiu.

Untuk info, Kim Swee merupakan jurulatih kedua yang dilayangkan kad merah bagi saingan Liga Super musim ini. Jurulatih pertama yang diperintahkan keluar padang adalah jurulatih baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain yang dilayangkan kad merah pada aksi menentang PDRM FC di Stadium Darul Aman.