Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee telah mengesan dua punca utama yang menyebabkan Sabah dibelasah Terengganu dengan keputusan 4-0 dalam aksi suku akhir Piala FA semalam.
Kim Swee menjelaskan antara punca utama yang mengundang gol-gol mudah pasukan Terengganu adalah prestasi barisan pertahanan Sabah yang tidak bermain seperti selalu selain kelekaan dan kelemahan pemain Sabah itu sendiri.
“Kelemahan kita (pemain Sabah) sendiri, kelekaan kita sendiri. Pertahanan tidak bermain seperti yang selalu kita lalui dan ini menyebabkan pasukan Terengganu yang mempunyai barisan serangan yang cukup baik menyempurnakan peluang-peluang yang mereka ada.
“Ini (kekalahan) perlu diterima satu pasukan di mana kita tewas dengan kelekaan kita, kelemahan kita di mana kita menampakkan pasukan Terengganu lebih baik terutamanya apabila gol-gol yang mudah dilepaskan,” jelas Kim Swee kepada Harimau Malaya.
Biarpun ketinggalan 0-4 secara agregat, Kim Swee mahu anak buahnya pulang ke Sabah semula dan merancang sesuatu bagi memberikan aksi terbaik pada aksi suku akhir kedua di Likas kelak.
“Kita tak boleh berputus asa, kita harus balik dan merancang bagi memastikan kita mampu bersaing dan mencuba dapatkan gol-gol yang diperlukan,” tegas Kim Swee lagi.
Sabah akan melalui satu lagi aksi suku akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Likas yang dijadualkan akan berlangsung pada 6 Julai depan.