Sudah tentu padang merupakan perkara yang paling asas dalam sukan bola sepak namun landskap bola sepak tempatan masih lagi ketandusan padang yang berkualiti lebih-lebih lagi buat kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia.
Dana yang dimiliki pengurusan kelab dilihat lebih banyak digunakan untuk menguatkan pasukan dengan membawa masuk pemain-pemain baharu. Mungkin kelab-kelab di Malaysia boleh melihat landskap bola sepak di Jepun.
Baru-baru ini, Ketua Analisis Pasaran MakanBola, Ahmad Ridzuan ada berkongsi keadaan padang sebuah kelab bola sepak divisyen 7 Jepun, Kisarasu Rovers. Permukaan padang yang baik jelas kelihatan sekali gus membuktikan mereka di Jepun sangat menitik beratkan kualiti padang.
Selain mempunyai padang sendiri, Kisarasu juga mempunyai beberapa fasiliti bola sepak yang beroperasi di bawah pengurusan mereka sendiri seperti gimnasium dan klinik osteopati. Klinik itu dibina bagi menyediakan rawatan sekiranya berlaku kecederaan mahu pun kecederaan yang teruk.
Dengan padang dan fasiliti yang baik, kelab Kisarazu wajar dijadikan contoh buat kelab-kelab di Malaysia. Ini kerana perkara asas seperti padang perlulah diberikan keutamaan agar taktikal pasukan dapat diterjemahkan di atas padang dengan jayanya.