Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNKDA) telah membuka peluang buat peminat bola sepak untuk menyewa padang Stadium Darul Aman.
Ini selepas PSNKDA telah memuat naik iklan sewaan padang Stadium Darul Aman untuk perlawanan persahabatan pada sebelah malam. Penyokong yang berminat boleh menyewa dengan kadar RM1,100 untuk satu perlawanan.
Sewa ini tidak termasuk kos untuk jurugambar dan pengadil untuk aksi persahabatan yang ingin dianjurkan di stadium keramat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu.
PSNKDA turut menyertakan tarikh bila padang Stadium Darul Aman boleh digunakan untuk aksi persahabatan pada waktu malam.
Tarikh yang ditawarkan ialah 14, 20, 21, 22, 27, 28 dan 29 Disember 2024. Penyokong yang berminat perlu menjelaskan bayaran sewaan dua hari sebelum padang disewakan.
Sewaan Stadium Darul Aman dilihat sebahagian daripada usaha PSNKDA untuk menarik orang ramai dan organisasi awam untuk memanfaatkan stadium ikonik itu.
Penyokong yang berminat boleh membuat tempahan dengan menekan pautan ini.