Advertisement

Follow us:

“Pan-gon Percaya Pada Kami Pada Ketika Ramai Yang Tidak” – Faisal Halim

Faisal Halim Malaysia 1 "Pan-gon Percaya Pada Kami Pada Ketika Ramai Yang Tidak" - Faisal Halim
Haziq / MakanBola
Muhammad Aiman
@aiman2309
11:10am 31/12/2022
Pivo

Skuad negara tiada pilihan selain wajib menang aksi terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Eletric menentang Singapura pada Selasa ini, atau boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal sekali lagi.

Semuanya gara-gara keputusan seri tanpa jaringan dicatat Vietnam dan Singapura pada Jumaat.

Satu mata yang diraih menyaksikan masing-masing ketika ini mengumpul tujuh mata, dengan Vietnam menerajui kumpulan menerusi beza jaringan ke atas Singapura tatkala Harimau Malaya yang mengutip enam mata tergelincir ke tangga ketiga.

Ini sudah tentunya menambah sedikit tekanan di kem negara apatah lagi kelebihan kini di pihak Singapura yang hanya memerlukan keputusan seri untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

Bagi pemain sayap, Faisal Halim, dia percaya motivasi dan moral keseluruhan skuad tetap tinggi walaupun mereka dihujani pandangan pesimistik segelintir penyokong.

Malah, Faisal tegaskan selain memulihkan maruah negara, satu sebab lain yang menambah tonik para pemain adalah Kim Pan-gon.

“Sudah tentu lawan Singapura kami akan bagi habis-habisan. Kami ada seminggu untuk rehat, membuat sesi pemulihan untuk kembalikan semula moral serta mental pemain.

“Kami ingin bagi jurulatih Pan-gon gembira semula. Tapi skuad yang kita ada ini orang tak percaya kami boleh berada di mana sekarang, saya tetap bangga dengan rakan sepasukan.

“Kami memang sangat menghormati jurulatih Kim, dia percaya dengan semua pemain yang dia ada dan memberi peluang kepada sesiapa sahaja. Dia tak takut dan tak pilih kasih, jadi lawan Singapura kami akan bagi yang terbaik untuk dia gembira,” ujar Faisal Halim.

Skuad negara sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Myanmar disusuli 5-0 ke atas Laos dan kemudiannya kecundang 0-3 kepada Vietnam.

Pada edisi tahun lalu, langkahan Harimau Malaya tersekat di peringkat kumpulan lantas menyaksikan ketua jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe membuat keputusan undur diri atas rasa tanggungjawab.