Ketua jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Park Jae-hong akur dengan kekalahan skuad bimbingannya kepada Terengganu akibat percaturan taktikal yang tidak menjadi.
Beliau yang ditemui selepas perlawanan menentang Terengganu pada Jumaat berkata bahawa skuad Penyu sememangnya lawan yang sukar ditambah pula bermain di laman mereka sendiri.
Mengenai insiden sepakan penalti yang dihadiahkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) kepada Terengganu, pengendali kelahiran Korea Selatan tidak mahu memberikan sebarang komen dan akan menyemaknya semula.
”Pada perlawanan hari ini (Jumaat), pasukan lawan sangat kuat dan kami sedar tentang hal itu tetapi untuk kes VAR ini, saya kurang pasti dan kami akan menyemak semula,” katanya kepada Astro Arena.
Tambahnya lagi, kelemahan aspek teknikal para pemainnya merencatkan setiap serangan yang ingin dilancarkan dan bakal menjanjikan perubahan pelan atau perancangan menjelang perlawanan seterusnya nanti.
“Satu lagi mengenai perlawanan ini, aspek teknikal para pemain tidak lancar (bila melakukan serangan). Hari ini, pelan kami dari segi teknikal sangat tidak bagus dan kami perlu susun semula untuk aksi berikutnya,” ujarnya sambil ditemani penterjemahnya.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, tiga gol masing-masing daripada Ismaheel Akinade, Nurillo Tukhtasinov dan Manuel Ott memastikan tiga mata berharga buat Terengganu untuk menumbangkan Kelantan DN.
Kemenangan ini meletakkan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner di tangga kedua Liga Super dengan tujuh mata manakala Kelantan DN terus dirudum malang apabila terperosok ke dasar liga tanpa sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan.
Saingan Liga Super akan berehat seketika bagi memberi ruang buat aksi pasukan kebangsaan dan akan kembali bersambung dengan kejohanan Piala FA yang mana Terengganu akan melayani kunjungan Perak sementara Kelantan DN akan berdepan JDT.