Harimau Malaya dikhabarkan akan berdepan tentangan daripada dua buah pasukan dan salah satunya adalah pasukan yang berada pada kedudukan ke-177 FIFA.
Skuad kendalian Kim Pan-gon kini berada dalam momentum terbaik selepas berjaya mara ke pentas Piala Asia 2023.
Malah, hal ini turut diserikan dengan persembahan yang cukup luar biasa dalam kejohanan Piala Raja Thailand September lalu menunjukkan bahawa Malaysia kini berada dalam keadaan yang cukup bersedia.
Menerusi satu pengumuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Malaysia dijadualkan akan berdepan dengan dua pasukan bagi perlawanan persahabatan tier 1 Disember ini.
Harimau Malaya akan berteku dengan Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berdepan dengan Maldives pada 14 Disember di Stadium Cheras.
Perlawanan ini dijangka menjadi medan persiapan terakhir bagi barisan kejurulatihan Harimau Malaya memilih barisan pemain terbaik.
Cabaran sebenar adalah apabila Malaysia akan bersaing dalam aksi Piala Mitsubishi Electric 2022 berdepan Laos bagi aksi pembukaan.