Pasukan Belgium Terpaksa Ubah Jersi Guna Pen Penanda dan Pelekat

RFC Seraing Pasukan Belgium Terpaksa Ubah Jersi Guna Pen Penanda dan Pelekat
RFC Seraing
Azim Noor @mohdazim45
11:38am 14/03/2023

Perlawanan Liga Pro Belgium membabitkan RFC Seraing dan Royal Antwerp semalam mengundang kelucuan dalam kalangan peminat bola sepak Belgium. Ini selepas Seraing terpaksa mengubah jersi mereka menggunakan pen penanda dan pelekat.

Sepatutnya untuk perlawanan tersebut, Royal Antwerp turun menggunakan jersi away rasmi mereka yang berwarna biru gelap. Entah di mana silapnya, pasukan pelawat hanya membawa kit jersi home mereka berwarna merah dan hitam – warna sama yang digunakan jersi home tuan rumah.

Akibatnya, sebaik sepak mula, ia mencetuskan kekeliruan kepada kedua-dua pasukan kerana warna jersi Seraing dan Royal Antwerp sama. Bagi mengelak perkara ini berterusan, tuan rumah mengambil keputusan menukar jersi home kepada jersi away.

Tetapi disebabkan sesetengah pemain saja yang membawa jersi away, ini memaksa Seraing menggunakan pen penanda dan pelekat pada baki jersi away lain agar dapat digunakan pada babak kedua.

Dengan Seraing memakai jersi putih, penjaga gol Antwerp, Jean V̶e̶r̶h̶u̶l̶ Butez perlu menukar jersinya bagi mengelak berlawanan dengan jersi tuan rumah. Butez kemudiannya memakai jersi penjaga gol lain bagi membolehkan perlawanan diteruskan.

Walaupun kalah 2-0 kepada pasukan pelawat, bagi pemain tuan rumah, Christopher Lepoint, ini dianggap mengarut dan tidak patut berlaku. Malah, Lepoint turut menyatakan yang sepatutnya menukar jersi ialah Antwerp dan bukannya tuan rumah.

“Cerita ini memang mengarut dan saya kalau boleh tidak mahu bercakap tentangnya. Saya sebenarnya mahu ketawa tentang hal itu. Semasa rehat, saya katakan terpulang kepada Antwerp untuk memakai jersi (away) putih mereka kerana bukan kami patut lakukannya disebabkan kami bermain di gelanggang sendiri,” katanya kepada media seperti dipetik NSS Sport.

Atas sebab itulah, portal Footy Headlines menegur sikap Royal Antwerp yang dilihat tidak profesional berkenaan isu jersi tersebut. Malah, ramai penyokong menyifatkan pasukan pelawat tidak menghormati RFC Seraing sebagai tuan rumah perlawanan liga semalam atas sebab sama.