Saingan Piala MFL diteruskan lagi dengan perlawanan tumpuan di antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat mereka dengan JDT II turut menyenaraikan Ramadhan Saifullah dan Gabriel Nistelrooy manakala KDA FC B telah memanggil empat pemain senior untuk beraksi menentang JDT II.
Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit dengan saling berbalas serangan.
Walau bagaimanapun tiada jaringan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, JDT II hanya memerlukan dua minit sahaja untuk berada di hadapan menerusi jaringan pemain sayap lincah, Najmudin Akmal pada minit ke-47.
Mendahului satu jaringan, JDT II mendapat lebih keyakinan untuk terus memburu jaringan yang setersunya bagi menjarakkan lagi kedudukan.
Hasilnya, JDT II berjaya mendapatkan jaringan kedua perlawanan, kali ini menerusi jaringan sendiri pemain muda Kedah Hazrie Balqief pada minit ke-59.
Kedudukan 2-0 itu tidak bertahan lama apabila penjaring terbanyak Piala MFL setakat ini, Gabriel Nistelrooy memberikan kegembiraan buat penyokong tuan rumah selepas berjaya meledak jaringan ketiga buat JDT II pada minit ke-63.
Tiada jaringan tambahan yang berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan selepas itu sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan mutlak 3-0 buat JDT II menewaskan KDA FC B.