Advertisements
Pau Marti Anggap Malaysia Perlu Atasi India Di Hyderabad
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti melihat aksi berdepan India di Hyderabad sebagai peluang buat Malaysia meraih kemenangan.

Skuad kebangsaan terbang ke Hyderabad untuk menentang India dengan momentum selepas mencatat kemenangan ke atas Laos dalam aksi persahabatan pada Khamis lalu.

Manakala pasukan India pula turun dengan misi penting bagi memburu kemenangan pertama apabila hanya merekodkan 4 keputusan seri dan 6 kekalahan dalam 10 perlawanan lalu.

Menurut Pau Marti, pasukannya berasa teruja untuk beraksi di perlawanan ini meskipun belum memulakan sesi latihan akibat kesuntukan masa kerana baru sahaja tiba di India.

”Kami baru sahaja tiba pada awal pagi ini (Ahad), jadi kami tak mempunyai banyak masa lagi di sini tetapi saya sangat teruja untuk menghadapi aksi ini,” ujar Pau Marti ketika sesi sidang media.

Tambah beliau, tugas sukar bakal dihadapi Malaysia namun Pau Marti melihat ini sebagai peluang terbaik buat pasukan negara memperbaiki rekod kemenangan di laman lawan.

”Tahun lepas kita berdepan tentangan sengit dan menang 4-2 di Malaysia dan saya pasti India mahu bangkit kali ini.”

”Saya percaya tugas sukar untuk beraksi di sini (Hyderabad) dan amat penting untuk memperbaiki rekod di tempat lawan kerana kami sangat sukar meraih kemenangan di luar laman sendiri.”

”Sudah berapa tahun sejak kali terakhir kita mencatat kemenangan di India dan saya lihat ini sebagai satu cabaran dan peluang terbaik buat kami (untuk meraih kemenangan).”

India dan Malaysia bakal bertemu dalam aksi persahabatan pada Isnin di Stadium Gachibowli, Hyderabad dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 10 malam waktu Malaysia.