Advertising
Pau Marti Puji Semangat Juang Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyifatkan keazaman yang dipamerkan anak buahnya memastikan mereka meraih kemenangan berharga menentang Timor Leste.

Aksi kedua Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menyaksikan Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Timor Leste kemudiannya mendahului sehingga rehat menerusi Olagar Xavier dan Joao Pedro.

Ad

Kapten KL City FC, Paulo Josue kembali menceriakan Ekor Harimau Malaya dengan gol penyamaan pada separuh masa kedua. Pemain pertahanan Timor Leste, Joao Panji tertampan tandukan Josue ke gawangnya sendiri untuk gol kemenangan Malaysia.

Ad

Pau Marti mengakui bukan mudah buat anak buahnya untuk mencipta kemenangan ke atas Lafaek. Atas sebab itu, beliau memuji keazaman Harimau Malaya untuk mencipta kemenangan di SNBJ.

“Saya tidak fikir aksi pada separuh masa pertama aksi yang teruk tetapi sudah tentu, kita perlu tunjukkan keazaman untuk memenangi perlawanan.

Ad

“Pada akhirnya, kita memenangi perlawanan tersebut. Kita akan cuba bangkit daripada situasi ini. Saya fikir secara emosi, semua orang dalam stadium sedar ia satu perlawanan yang sukar.

Ad

“Jadi, pujian harus diberi kepada pemain-pemain kerana perlu bangkit daripada ketinggalan. Kita akan hadapi cabaran lebih besar (dengan Thailand), jadi kita harus ubah fokus,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan hari ini.

Ad

Kemenangan ini menyaksikan Malaysia kini menerajui Kumpulan A dengan empat mata. Timor Leste pula di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Selepas ini, Harimau Malaya akan bertandang ke Stadium Rajamangala untuk menentang Thailand pada 14 Disember ini. Lafaek pula akan menentang Singapura di Stadium Hang Day, Hanoi pada hari yang sama.