Advertisement
Pau Tiada Jawapan Mengenai Masa Depan Quang Hai Di Perancis
Eropah
MakanBola
Paufootballclub

Selepas jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Pau, masa depan Nguyen Quang Hai bersama kelab Ligue 2 itu kelihatan tidak menentu. Bagaimanapun, usaha ejennya, Michele Donato Fersini mendapatkan kepastian tentang masa depan kliennya itu tidak berhasil.

Fersini dikatakan telah mengatur satu pertemuan dengan pengurusan Pau pada 14 April lalu bagi membincangkan isu berkenaan. Malangnya, ia dipandang sepi oleh pengurusan Les Maynats.

“Pau sepatutnya menjawab persoalan saya malam semalam (14 April) tetapi mereka cuma mendiamkan diri. Kalau mereka tidak menghormati saya, saya terpaksa tamatkan perbincangan ini,” katanya kepada Zing News.

Situasi ini tidak dibantu dengan tindakan jurulatih Didier Tholot tidak menyenaraikan nama Quang Hai dalam skuad yang turun dalam perlawanan Ligue 2 Pau menentang Sochaux awal pagi hari ini.

Kali terakhir Quang Hai beraksi bersama pasukan senior Pau ialah pada Februari lalu. Bekas pemain tengah Hanoi FC itu turun sebagai pemain gantian dan bermain selama 10 minit dalam kekalahan dengan pasukan Ligue 2, Stade Laval.

Ini sudah pasti akan menyemarakkan lagi spekulasi perpindahan pemain tengah Vietnam itu walaupun mempunyai baki kontrak setahun dengan kelab Ligue 2 itu. Antara liga yang dikaitkan dengan perpindahan Quang Hai ialah Thai League 1.