Advertisement
Paul Scholes Pun Terkejut Dengan Aksi Budak 19 Tahun Ini Ayam-ayamkan Man City
UEFA Champions League
MakanBola
Manchester United/Juventus

Legenda Manchester United, Paul Scholes kagum melihat kelincahan bintang muda Juventus, Kenan Yildiz dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) baru-baru ini.

Yildiz merupakan sebahagian daripada kesebelasan utama yang dipilih Thiago Motta untuk menghadapi cabaran juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Kelincahan bintang muda Turkiye itu terserlah apabila beliau berjaya mengawal bola meskipun dihambat pemain-pemain The Citizens. Selain itu, Yildiz juga bijak mencari ruang untuk membuat hantaran-hantaran tepat kepada rakan sepasukannya.

Kesukaran City mengawal bekas bintang remaja Bayern Munich itu memakan diri pada minit ke-53. Dusan Vlahovic mudah menyempurnakan hantaran Yildiz untuk meletakkan Juventus di hadapan.

Pemain gantian dari Amerika Syarikat, Weston McKennie memastikan kemenangan milik La Vecchia Signora menerusi gol pada minit ke-75.

Persembahan menarik yang ditampilkan Yildiz sepanjang perlawanan itu menarik perhatian Scholes. Beliau kemudiannya memuat naik satu status di Instagram Story, “Siapa si Yildiz ini?”

Sejak diberi peluang beraksi dalam skuad utama Juventus, Yildiz merekodkan 53 penampilan, lapan gol dan lima bantuan gol. Semakan nilai semasanya di pasaran perpindahan di Transfermarkt ialah €40 juta (RM186 juta).

Bakat Yildiz turut diintai beberapa kelab EPL termasuk United dan Aston Villa. Walau bagaimanapun, mana-mana kelab yang berminat perlu bersedia membayar yuran perpindahan sebanyak £66 juta (RM372 juta) kepada Juventus.