Kapten KL City FC, Paulo Josue memiliki peluang cerah untuk memintas satu lagi rekod yang dimiliki legenda Singapura, Fandi Ahmad.
Sebelum ini, tonggak Harimau Malaya berusia 35 tahun itu mencipta sejarah dengan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman The City Boys.
Josue memintas rekod Fandi yang menyumbat 67 gol dengan meledakkan dua gol ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 14 September 2024.
Berdasarkan statistik semasa, beliau kini sudah meledakkan 76 gol. Ini meletakkan Josue jauh di hadapan Fandi, Guilherme de Paula (66 gol), K. Kannan (60 gol) dan Subadron Aziz (51 gol).
Kini, beliau berpeluang mencipta satu lagi rekod sebagai penjaring terbanyak KL City dalam liga. Josue kini sudah menjaringkan 15 gol dalam liga selepas membantu KL City menewaskan Kedah 3-2.
Ini kerana rekod tersebut dipegang Fandi dengan 18 gol untuk musim 1988. Statistik ini dikongsikan wartawan sukan, Devinder Singh.
Menariknya, Josue turut memintas rekod de Paula yang merekodkan 13 gol dalam saingan Liga Super pada 2018.
“Paulo Josue kini penjaring terbanyak Kuala Lumpur dalam Liga Super 15 gol semusim, melepasi 13 gol yang dijaringkan Guileherme de Paula pada 2018,” katanya di X.
“Beliau kini ketinggalan tiga gol di belakang rekod 18 gol yang dilakar Fandi Ahmad dalam musim 1988 Liga Malaysia.”
Josue kini mempunyai dua perlawanan untuk memintas rekod Fandi. Selepas ini, KL City akan menentang Perak FC pada 6 April sebelum menentang Penang FC pada 20 April.