Kapten Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue mengakui merasa kagum melihat rakan-rakan sepasukannya kekal aktif meskipun berpuasa pada bulan Ramadan.
Hal ini dinyatakan penyerang Harimau Malaya itu apabila ditanya sama ada beliau cuba berpuasa pada bulan mulia ini.
Josue mengakui dirinya tidak mampu berpuasa sepanjang hari jika cuba berpuasa. Atas sebab itu, beliau merasa kagum melihat pemain KL City tetap aktif meskipun berpuasa pada bulan Ramadan.
“Saya tak boleh tahan berpuasa sepanjang hari. Saya tak tahu macam mana mereka buat (berpuasa pada bulan Ramadan).
“Mereka boleh bermain bola dan berpuasa, sebelum perlawanan mereka hanya ambil makanan ringan. Agak mencabar tetapi mereka dapat melakukannya,” katanya.
Josue berkata demikian selepas aksi Liga Super antara KL City dan Brunei DPMM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini.
Aksi itu berkesudahan dengan kemenangan 4-0 buat tuan rumah. Josue, Safawi Rasid dan Victor Ruiz masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.