Kapten pasukan Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue yakin para pemain KL City sudah bersedia untuk berikan segalanya pada esok.
KL City bakal berdepan cabaran wakil dari Oman, Al-Seeb FC di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi penentuan gelaran juara Piala AFC 2022.
Pemain berusia 33 tahun itu berhasrat untuk hadiahkan Piala AFC buat rakyat Malaysia. Beliau menjelaskan pasukannya sedaya upaya akan berusaha menampilkan aksi terbaik dalam memastikan gelaran juara dirangkul KL City.
“Saya bangga untuk berada disini dan sehingga ke tahap ini. Semua teruja untuk aksi final dan kami akan berikan segalanya di dalam padang.”
Beliau dalam pada itu juga mahu buktikan bahawa The City Boys sememangnya layak untuk berada di pentas final.
“Sebelum ini kami bermain di luar, cuaca panas, cuaca sejuk semua kami sudah rasa. Jadi pastinya kami akan berikan yang terbaik untuk buktikan bahawa kami sememangnya layak untuk berada di pentas final.”
“Kami sudah bersedia. Semoga kami dapat beri Piala AFC ini buat Malaysia dan berikan sesuatu untuk banggakan Malaysia,” ujar beliau dalam sidang media sebelum perlawanan.