Paulo Josue Sedia ‘Berkorban’ Demi Leandro Velazquez
MakanBola
FA Malaysia

Kapten KL City FC, Paulo Josue bersedia memberi ruang kepada Leandro Velasquez seandainya pemain berdarah Argentina itu dipanggil menyertai Harimau Malaya.

Sebelum ini, DYAM TMJ, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mendedahkan harapan baginda untuk melihat Velasquez menjadi pemain naturalisasi terbaru negara.

Pemain berdarah Brazil itu melihat kehadiran bekas pemain perancang Newell’s Old Boys itu mampu memberi pilihan tambahan kepada jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon di bahagian tengah.

Malah, Josue bersedia memberi laluan kepada Velasquez sekiranya beliau membantu skuad negara meraih keputusan positif di pentas antarabangsa.

“Amat jelas beliau lebih bagus daripada pemain-pemain lain. Tetapi kita masih ada jurulatih (Kim Pan-gon) dan jurulatih yang harus menentukan.

“Jika kita ada peluang membawanya masuk ke dalam pasukan, saya fikir itu satu peluang yang bagus. Walaupun itu bermakna saya kena lepaskan posisi saya, saya akan lakukannya, tiada masalah,” katanya bila ditemubual Nadi Arena di Astro Arena.

Sejak bergelar pemain naturalisasi Malaysia, Josue sudah mencipta lima penampilan bersama Harimau Malaya. Ini termasuk kejayaan mengikat China 1-1 di Chengdu pada September lalu.

Selepas terlepas mengikuti aksi Pestabola Merdeka 2023 kerana demam denggi, Josue diharap dapat membantu skuad kebangsaan mengharungi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.