Pasukan Liga Super, PDRM FC memasang niat untuk membawa masuk nama besar ke dalam pasukan mereka.
Seperti yang sedia maklum, jendela perpindahan kali ini sudah pun dibuka dan kini tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi.
Semua pasukan dilihat gigih mempersiapkan pasukan termasuklah PDRM yang sudah merekrut beberapa muka baharu bagi musim 2023.
Namun begitu, menerusi satu hantaran di laman Twitter, PDRM menyatakan minat untuk membawa masuk bekas pemenang 5 kali UCL, Marcelo.
Pertahanan Brazil itu telah pun ditamatkan kontrak bersama kelab Greece, Olympiacos setelah hanya berada selama 5 bulan di sana.
Pemain berusia 34 tahun itu mula hilang tempat dan difahamkan kini berstatus ejen bebas.
Sungguhpun ciapan ini difahami sebagai satu bentuk seloroh, namun ia jelas merupakan satu perkembangan yang baik buat industri bola sepak untuk terus berkembang maju.
Setakat ini, PDRM telah mengumumkan ketibaan penyerang prolifik pasukan, Bruno Suzuki, Uche Agba dan beberapa pemain lagi seperti Marcus Macauley, James Okwuosa, Kyaw Min Oo bagi memantapkan lagi pasukan.