Juara MFL Challenge Cup 2023, PDRM FC sudah bersedia untuk mencalarkan rekod tanpa kalah Selangor FC dalam 10 perlawanan semua kejohanan.
Perkara ini dinyatakan sendiri pemain tengah The Cops, Eizrul Ashraf Nor Effendy menjelang aksi final pertama kejohanan itu di Stadium MBPJ pada 15 Februari ini.
Selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Selangor mula mempamerkan aksi konsisten di bawah kendalian jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi.
Ini terbukti apabila pasukan itu merekodkan sembilan kemenangan dan satu seri dalam 10 aksi terakhir semua kejohanan. Ini termasuk kejayaan mengalahkan Penang FC di peringkat separuh akhir MFL Challenge Cup.
Selain itu, trio penyerang import Selangor, Ali Olwan, Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez terus menunjukkan keserasian di bahagian hadapan. Kombinasi tiga pemain itu sudah menghasilkan 33 gol buat Merah Kuning musim ini.
Meskipun sedar dengan cabaran hebat yang bakal dihadapi PDRM, Eizrul percaya beliau dan rakan-rakan sepasukannya mampu mencipta kejutan ke atas anak buah Kinoshi.
“Saya tahu rekod Selangor 10 perlawanan tanpa kalah (dalam semua kejohanan),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Tetapi saya dan rakan-rakan sepasukan saya akan berikan yang terbaik pada Sabtu ini untuk calarkan rekod kebal Selangor di sana (Stadium MBPJ).”
Eizrul turut menjangkakan persaingan sengit antara kedua-dua pasukan terutama di bahagian tengah.
“Saya rasa (persaingan) adil antara kedua-dua pasukan sebab kami juga memiliki kualiti kami sendiri. Di mana kami juga ada barisan pemain tengah yang berkualiti seperti Fadi Awad, Aremu Timothy dan Kyaw Min Oo,” ujarnya.
“Dan saya tak berapa risau nak hadapi mereka kerana tahu mereka memiliki pengalaman luas dan berada dalam skuad kebangsaan seperti Nooa Laine dan juga Aliff Haiqal turut pernah beraksi untuk skuad kebangsaan.
“Tapi bagi saya, itu satu motivasi untuk menonjolkan diri untuk perlawanan pada Sabtu ini untuk memastikan bahagian tengah milik PDRM.”
PDRM berharap dapat mencuri bekalan gol untuk aksi timbal balik di Selayang pada 22 Februari.