Pemain tengah Liverpool dan Argentina, Alexis MacAllister dikesan menggunakan tiub oksigen menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Bolivia.
Ini berdasarkan satu foto yang dikongsikan EuroFoot semalam. Bagi mana-mana pasukan yang beraksi di ibu negara Bolivia, La Paz, ia satu tugas yang mencabar.
Ini kerana La Paz merupakan ibu negara paling tinggi di dunia pada kedudukan 3,600 meter di atas paras laut.
Disebabkan faktor ini, ini bukan saja menyukarkan pemain untuk bernafas normal. Malah, pergerakan bola juga dijangka sukar di mana ia bergerak lebih laju di udara dan lebih berat bila melantun ke tanah.
Gabungan dua faktor ini menyukarkan mana-mana pasukan beraksi dengan baik di La Paz. Ironinya, antara pasukan yang sudah merasa penangan La Paz ialah Argentina.
Pada 2009, Albiceleste yang dibarisi pemain-pemain bertaraf legenda seperti Carlos Tevez, Javier Zanetti, Javier Mascherano dan Lionel Messi dikejutkan Bolivia dengan kemenangan besar 6-1.
Jadi, tidak hairanlah mengapa skuad Argentina yang dibimbing Lionel Scaloni lebih bersedia bila ke La Paz. Perkara terakhir yang dimahukan ialah reputasi mereka sebagai juara dunia kembali tercalar di tangan pasukan kerdil Amerika Selatan itu.
Justeru, pengurusan Albiceleste berusaha memberi bantuan terbaik kepada skuad mereka termasuk tiub oksigen buat para pemain.