Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memaklumkan semua pemain negara yang berpangkalan di luar negara akan sentiasa berada dalam radar beliau.
Selepas kemunculan Hector Hevel dan Gabriel Palmero dalam skuad kebangsaan baru-baru ini, ramai peminat tertanya-tanya tentang status pemain lain seperti Richard Chin dan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal.
Ini kerana kedua-dua pemain ini masing-masing berpangkalan di England dan Amerika Syarikat. Malah, Kuzain antara nama yang dicanang bakal menyertai Harimau Malaya selepas pulih daripada kecederaan.
Richard pula dilihat semakin cemerlang bersama kelab divisyen enam England, Farnborough selepas meninggalkan Charlton Athletic.
Apabila diminta mengulas isu berkenaan, Cklamovski memaklumkan semua pemain Malaysia di luar negara berada dalam radar beliau termasuk Richard dan Kuzain.
Sekiranya mereka menunjukkan prestasi cemerlang dan memberi nilai tambah kepada skuad kebangsaan, maka tiada isu bagi mereka menyarung jersi Harimau Malaya.
“Kita tahu mereka ada. Selagi mana mereka rakyat Malaysia dan bermain dengan baik sudah pasti berpeluang untuk terpilih (ke Harimau Malaya),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
“Jadi, tiada perbezaan di situ. Selagi mana mereka rakyat Malaysia, menunjukkan prestasi baik, kekal cergas dan menunjukkan keazaman, mereka berpeluang untuk dipilih.
“Semua pemain Malaysia dalam radar dan kita akan teliti segalanya untuk membentuk skuad terkuat untuk aksi seterusnya.”
Malaysia bakal diperkuat tujuh lagi bintang yang berpangkalan di luar negara menjelang aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.